Pemberitahuan » Informasi » Covid-19, krisis ekonomi dan kehilangan kerja: Bagaimana anda patut mendepaninya?

Covid-19, krisis ekonomi dan kehilangan kerja: Bagaimana anda patut mendepaninya?

Dalam keadaan sekarang – pendemik Covid-19 dan krisis ekonomi – antara yang menjadi fokus awam ialah soal meneruskan kelangsungan hidup, termasuklah membabitkan kerjaya sama ada sebagai pekerja makan gaji atau peniaga. Tidak dapat tidak kemelut kesihatan awam yang menjejaskan keluk ekonomi dan perniagaan ini sedikit sebanyak menjejaskan kualiti hidup dan taraf hidup seseorang.

Malah tidak disangkal bahawa pada tahap ini, sudah ramai rakyat kehilangan pekerjaan dan mata pencarian.Soalnya, bagaimana sewajarnya kita perlu mendepani situasi dan cabaran ini? Hidup mesti diteruskan. Sudah tentu!

Anak-anak perlu dibesarkan seperti biasa. Tanggungan masing-masing perlu disempurnakan kebertanggungjawabannya.

Justeru, harusnya bagaimana? 

Tulisan ini bertujuan memperincikan hal berkenaan dengan harapan sedikit sebanyak mampu membantu pembaca mendepani situasi sukar ini. Teruskan pembacaan!

Apa yang patut anda tahu?

Dalam mendepani situasi sukar ini, ada beberapa info dan fakta penting yang patut anda tahu. Ini supaya anda tidak mudah tenggelam punca, panik atau mengambil jalan salah dalam mendepani situasi sangat mencabar ini.

Berikut ialah fakta yang patut anda tahu.

Jika diberhentikan kerja

Jika diberhentikan kerja, anda perlu tahu bahawa di sisi undang-undang sedia ada, anda sebenarnya mempunyai masa 60 hari sahaja untuk membuat laporan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM). Ini mungkin ramai tidak tahu. Mungkin ramai beranggapan, mereka yang dibuang kerja boleh, pada bila-bila masa, membuat aduan ke jabatan berkenaan tanpa ada had atau tempoh masa sah laku di sisi undang-undang.

Justeru, jika anda gagal membuat laporan dalam tempoh berkenaan, iaitu 60 hari, anda terlepas peluang untuk mendapatkan pampasan 24 bulan gaji terakhir. Ini biasanya sangat “disukai” pihak majikan kerana mereka dapat menjimatkan kos syarikat, terutama dalam situasi sukar seperti sekarang.

Hak anda jika diberhentikan kerja

Jika diberhentikan kerja, anda mesti memastikan majikan membayar pampasan atau faedah pemberhentian kerja, paling minimum berdasarkan peruntukan mengikut Akta Pekerjaan 1955.

Akta ini menetapkan amaun pampasan pada nilai tertentu bergantung kepada gaji semasa dan tempoh berkenaan. Ada jadual khusus dinyatakan mengikut akta ini yang anda patut rujuk untuk mengetahui jumlah pampasan sewajarnya anda terima apabila diberhentikan kerja.

Sila rujuk Peraturan Pekerjaan (Pemberhentian dan Faedah Pemberhentian 1980) Akta Pekerjaan 1955. Akta juga mewajibkan majikan memberi notis pemberhentian kerja pada tempoh tertentu. Jika gagal mematuhi tempoh notis, ada amaun tertentu yang majikan perlu bayar kepada pekerja yang diberhentikan.

Malah akta ini turut menetapkan bahawa pekerja yang diberhentikan mestilah dibayar baki cuti tahunannya pada kadar gaji biasa.

Apa patut buat jika diberhentikan kerja?

Dalam situasi pandemik sekarang, macam-macam kemungkinan boleh berlaku. Apa anda patut buat jika tiba-tiba majikan terpaksa mengambil keputusan memberhentikan anda?

Bertenang

Paling utama ialah bertenang. Ini saranan paling mudah diucap, tetapi tidak mudah dibuat.

“Kau cakap senanglah. Cuba kalau kena batang hidung sendiri”. Ini mungkin antara getusan hati yang terpantul tiba-tiba jika anda menerima saranan sebegini setelah diberhentikan kerja.

Namun, marilah kita menguatkan diri. Situasi pandemik adalah masalah sejagat. Anda tidak berseorangan dalam mendepaninya. Bertenanglah dahulu untuk langkah-langkah seterusnya yang lebih bijak!

Nasihat ini, walaupun mungkin tampak terlalu ideal, ia sangat penting. Kegagalan anda untuk bertenang ketika menerima “musibah” ini mungkin akan menyebabkan musibah lebih buruk.

Itu bukan pengakhiran hidup anda sebenarnya. Ini hanya sebahagian daripada cabaran dan “makna kehidupan”. 

Bersedia emosi dan kewangan

Apabila diberhentikan kerja, anda perlu menanganinya sekurang-kurangnya dari dua sudut utama, iaitu sudut emosi dan kewangan. Dua hal ini sangat penting. Ia banyak menentukan sejauhmana anda mampu mendepani situasi mencabar apabila diberhentikan kerja.Biasanya sudut emosi sangat kritikal apabila seseorang mendepani dilema diberhentikan kerja. 

Tentulah ia mengganggu fikiran dan fokus. Namun, tidak dapat tidak, anda perlu mendepaninya secara lebih bijak demi kelangsungan hidup peribadi dan tanggungan atau keluarga anda. Ini kerana pekerjaan itu sendiri bukan sahaja berkait rapat dengan soal kewangan, malah identiti dan kehidupan peribadi seseorang.

Kehilangan pekerjaan biasanya sangat dirasakan. Ini terutama bagi mereka yang sudah berusia atau terbabit dalam bidang pekerjaan yang spesifik dengan peluang mendapatkan pekerjaan baharu agak terhad.

Kebarangkalian pekerja senior dan berusia diberhentikan juga sangat tinggi. Ini kerana syarikat biasaya mengamalkan dua pilihan apabila mempertimbangkan pemberhentian pekerjaan. Dua pilihan berkenaan ialah sama ada memberhentikan pekerja yang paling baharu menyertai syarikat atau pekerja yang paling tinggi dibayar gaji.

Dari sudut emosi, pemberhentian kerja memberi kesan berbeza bagi setiap orang. Sesetengah orang cepat dan mudah menyerap terima kesan kehilangan pekerjaan, manakala yang lain sebaliknya. Kategori ini biasanya lebih mudah dihinggapi stres berbahaya. Sebaliknya, mereka yang cepat mengambil “musibah” ini dari sudut positif, biasanya akan cepat menemui solusi serta mencari jalan alternatif.

Ini termasuk dengan menceburkan diri dalam aktiviti baharu seperti perniagaan dan sebagainya. Malah, mereka yang positif akan menganggap pemberhentian kerja sebagai satu peluang keemasan menukar corak hidup.

Ia menjadi lebih mudah jika kadar pampasan pemberhentian kerja agak banyak untuk membolehkan seseorang menggunakannya untuk mencipta kerjaya baru, termasuklah dalam bidang keusahawanan.

Sesetengahnya mungkin melihat pemberhentian kerja mereka sebagai satu peluang untuk melakukan sesuatu yang berbeza, terutama jika amaun faedah pemberhentian agak tinggi dan dapat digunakan untuk pelbagai keperluan.

Apakah persediaan sebaiknya?

Biasanya persediaan mendepani saat kehilangan pekerjaan akan menjadi lebih mudah jika seseorang yang diberhentikan kerja menerima pampasan pada amaun yang mencukupi dan munasabah untuknya membuat persediaan mencari pekerjaan baru. Malah, dengan kadar pampasan yang munasabah itu, seseorang yang kehilangan  pekerjaan dalam tempoh Covid-19 ini lebih bersedia dan lebih mampu mencipta peluang lain menerusi pembabitan dalam keusahawanan.

Justeru, jika wujud tanda-tanda di organisasi anda bahawa pemberhentian kerja kemungkinan besar berlaku dan anda seorang daripadanya,  anda patut mengambil langkah persediaan lebih awal.

Apabila pemberhentian pekerjaan benar-benar terjadi, selain persiapan mental, anda patut memberi perhatian mengenai beberapa perkara teknikal berikut.

Tarikh berkuatkuasa surat penamatan pekerjaan. 

Pertama-tama, anda patut tahu bilakah surat penamatan pekerjaan itu berkuatkuasa. Ia mungkin berkuatkuasa 24 jam, satu bulan, tiga bulan atau pada tarikh spesifik tertentu.

Ini dapat diketahui secara sahih dan rasmi setelah surat penamatan kerja dikeluarkan. Khabar angin atau desas-desus mungkin ada terdahulu itu. Namun, fakta sebenar hanya boleh diketahui menerusi surat pemberhentian kerja.

Semak betul-betul surat pemberhentian kerja dan dapatkan semua info perlu, termasuklah tarikh berkuatkuasanya tarikh pemberhentian pekerjaan anda.

Baca Juga :  Permohonan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) Melalui Online

Jika ditamatkan dalam tempoh 24 jam

Sangat penting bahawa jika ditamatkan perkhidmatan dalam tempoh 24 jam, anda mesti segera membuat laporan kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPPM). Bawa bersama dokumen berkenaan ketika membuat laporan kepada jabatan ini.Jika anda ditamatkan perkhidmatan dengan notis satu sebulan, anda boleh tunggu sehingga tamat tempoh berkenaan dan kemudian membuat laporan kepada JPP. Sementara tamat tempoh sebulan, anda perlu bekerja dahulu di organisasi berkenaan.

 Apa maklumat yang perlu?

Ketika membuat laporan kepada JPPM, anda tidak semestinya perlu memberi penekanan kepada soal pampasan terlebih dahulu. Sebaliknya, fokus dan beri keutamaan bahawa anda masih berhasrat untuk terus kekal bekerja di organisasi berkenaan.

Untuk ini, JPPM biasanya akan menyemak dan memastikan bahawa semua dokumen serta bukti pemberhentian kerja adalah sahih dan benar. Untuk itu, ketika membuat laporan di JPPM, sila bawa bersama semua dokumen berkaitan, termasuklah surat penamatan kerja. Paling utama, antaranya, JPPM akan menyemakk bagi memastikan laporan dibuat dalam tempoh 60 hari atau tidak.

Biasanya apa tindakan JPPM?

Mengikut amalan biasa, JPPM akan mengaturkan satu perjumpaan dengan pihak majikan bagi merundingkan jalan lebih selamat, termasuklah untuk mengelak langkah pemberhentian kerja.

Biasanya JPPM tidak akan memberatkan soal pampasan, sebaliknya wakil jabatan itu akan berunding dengan pihak majikan untuk melihat mana-mana ruang mengenai kemungkinan jika ada cara dan langkah dapat diambil bagi mengelak pemberhentian kerja.

Dalam perbincangan itu, pihak majikan biasanya akan membuat keputusan sama ada mereka boleh mengambil semula pekerja terbabit dan mengelak pemberhentian kerja daripada berlaku.

Jika tidak dapat berbuat demikian, jalan yang perlu dipilih ialah majikan mesti membayar pampasan mengikut lunas ditetapkan undang-undang.

Pada perangkat ini baharulah soal pampasan pemberhentian pekerjaan diberi perhatian, ditimbang dan dinilai.

Bagaimanapun, dalam sesetengah keadaan dan kes, ada situasi yang persefahaman dan persetujuan tidak dicapai. Majikan mungkin bukan sahaja tidak bersedia mengambil semula kakitangan terbabit, malah enggan membayar pampasan mengikut kadar perundangan.

Jika ini berlaku, JPPM biasanya akan menyediakan satu laporan dan menghantarnya kepada Menteri Sumber Manusia untuk tindakan seterusnya.

Apabila sudah sampai ke tahap campurtangan menteri, maka menteri berkenaan perlu menimbang kemungkinan merujuk kes itu kepada Mahkamah Perusahaan.

Dan, jika kes itu berlarutan sehingga Mahkamah Perusahaan, majikan perlu membuktikan bahawa mereka mempunyai sebab paling munasabah untuk memberhentikan pekerja berkenaan.

Ini bermakna, jika syarikat gagal menunjukkan ada sebab munasabah untuk melakukan penamatan pekerjaan, Mahkamah Perusahaan biasanya akan mengarahkan pihak syarikat membayar pampasan gaji mengikut terma yang ditetapkan undang-undang.

Justeru, dalam mendepani sebarang kemungkinan pada era pendemik ini, anda sepatutnya sangat tahu apa hak anda di sisi undang-undang.

Dan, paling mustahak, anda tidak patut diam. Sebaliknya, ambil apa juga tindakan perlu, termasukkan membawa kes anda ke pengetahuan pihak berkuasa untuk tindakan munasabah dan sewajarnya.

Mengurus aspek kewangan 

Setelah semua urusan laporan kepada JPPM dan mahkamah tidak menemui jalan untuk anda kekal di majikan sekarang, sebaliknya anda perlu menerima hakikat ditamatkan perkhidmatan, maka jalan terbaik ialah anda mesti menerimanya dengan tenang. Dengan sejumlah pampasan yang diterima, anda kini tidak dapat tidak perlu menjadi sangat bijak untuk menguruskan kewangan yang mungkin tidak seberapa itu.

Dalam keadaan ini, jika ada peluang pekerjaan lain, terima sahaja dahulu. Jangan berkira dan memilih. Ingat, komitmen bulanan anda mesti dibereskan seawal mungkin. Terima sahaja dahulu apa sahaja tawaran pekerjaan, asalkan ia sedikit sebanyak meringankan beban kewangan anda sekeluarga. Pekerjaan yang lebih secocok mungkin akan tiba kemudian.

Tidak kurang penting ialah anda perlu menguruskan kewangan yang ada hasil pampasan pemberhentian kerja secara bijak agar ia mencukupi bagi menampung keperluan sekeluarga sementara mendapat pekerjaan baharu. Bagi mereka yang masih bujang pula, terimalah keadaan ini sebagai satu peluang untuk belajar dan menimba pengalaman. Sementara ekonomi pulih seperti sedia kala, terokailah kemahiran dalam bidang berkaitan atau asahlah kemahiran dalam lapangan keusahawanan.

Selain menggunakan wang pampasan pekerjaan, jika anda mempunyai aset peleburan atau simpanan di mana-mana institusi, inilah masanya untuk mencairkan mana-mana sebahagian aset berkenaan. Namun, ia mesti gunakan untuk tujuan perlu sahaja. Malah, jika amaun pelaburan agak banyak, pastikan anda menggunakan sebahagian kecil sahaja daripada amaun berkenaan. Andaikan seolah-olah anda perlu hidup seribu tahun lagi.

 

Jangan hadapi secara bersendirian

Apa yang penting juga ialah jangan mendepani situasi sukar ini secara bersendirian. Banyak keburukan jika anda mendepani situasi mencabar ini secara bersendirian, termasuklah kemungkinan anda berdepan masalah kemurungan atau setidak-tidaknya akan menjadi buntu untuk menemui jalan penyelesaian.

Justeru, apa patut buat? Antaranya, anda tidak patut menyembunyikan hal penamatan pekerjaan ini daripada pengetahuan rakan taulan. Sebaliknya, beritahulah secara terus terang situasi yang anda sedang alami. Setidak-tidaknya dengan cara ini mungkin membuka peluang pekerjaan baharu menerusi kawan-kawan. In sha Allah, akan ada kawan-kawan yang membantu menyalurkan maklumat jika ada peluang pekerjaan baharu di tempat lain.

 

Dan, jika anda bercadang memulakan perniagaan sebagai pilihan setelah ditamatkan pekerjaan, ada baiknya anda uar-uarkan kepada semua rakan taulan. Mereka ini akan mampu membantu, termasuklah sebagai ejen pemasaran dan “tukang promo” tidak rasmi bagi perniagaan yang anda baharu ceburi.

Suarakan hasrat anda kepada rakan-rakan bahawa anda bersedia untuk bekerja walaupun dengan gaji rendah berbanding gaji terdahulu.Jika anda bercadang untuk memulakan perniagaan anda sendiri dengan wang pampasan daripada faedah pemberhentian kerja, mulakan dengan mendapatkan seberapa banyak kenalan. Bagaimanapun, jangan sesekali membabitkan diri dengan sebarang komitmen kewangan besar. Malah, ini bukan masanya untuk anda membeli rumah atau kereta baru. 

Memulakan kerjaya baharu

Pandemik Covid-19 tidak semestinya bermakna semua peluang kerjaya tertutup rapat. Masih ada sektor dan organisasi mengambil pekerja baharu walaupun kuantitinya tidak banyak berbanding sebelum ini. Apa persiapan anda untuk kerjaya baharu? Sememangnya anda perlu bersedia sama seperti anda mula-mula mencari pekerjaan terdahulu. Antaranya, anda patut tahu lumrah (nature) kerjaya baharu yang bakal anda pohon. Kumpulkan maklumat berkaitan kerjaya baharu ini sebanyak mungkin.

Antaranya termasuklah kemahiran dan kelayakan minimum serta kriteria berkaitan yang diperlukan. Zaman Internet ini menjadikan pencapain maklumat lebih mudah. Selongkar semua laman web berkaitan untuk apa juga info berkenaan. Buat persediaan juga dari segi resume. Tidak semua orang tahu mengenai anda, termasuklah bakal majikan baharu anda!

Jika kebetulan ada rezeki, resume yang menarik dan kemas mungkin menjadi asbab untuk anda mendapat pekerjaan baharu; tidak berapa lama selepas diberhentikan kerja.Ini bermakna, jika masih ada resume lama, anda perlu mengemas kini info, termasuklah mengenai pencapaian dan penguasaan kemahiran baharu di tempat kerja anda terdahulu.

Pokoknya, apa yang mahu disampaikan menerusi tulisan ini ialah anda tidak patut menanggapi kehilangan pekerjaan pada tempoh pandemik ini dalam skop yang negatif. Sangat tidak mustahil pemberhentian kerja di organisasi sekarang mungkin membawa rezeki yang lebih banyak untuk anda sekeluarga. Bersangka baiklah kepada Maha Pencipta!