Pemberitahuan » Terkini » Kenalpasti Cara Penipuan Skim Cepat Kaya di Malaysia

Kenalpasti Cara Penipuan Skim Cepat Kaya di Malaysia

Anda nak tahu apa taktik yang digunakan si penipu skim cepat kaya ni?

Sayang nya ramai lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa kepada skim cepat kaya yang boleh mencecah kerugian berpuluh-puluh ribu. Pensyarah, peguam, jurutera, sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa penipuan skim cepat kaya ini kerana kurangnya ilmu pelaburan.

Kalau anda hanya fikirkan pelaburan yang confirm 100% tak akan rugi dan untung berganda-ganda itu sah dan mula berangan jadi orang kaya baru dalam masa yang singkat, lupakan lah. Anda mungkin dah terkena perangkap skim cepat kaya ni.

‘Alamak. macam mana nak tahu yang kita ni terkena perangkap skim cepat kaya?’

Pemberitahuan sediakan entri khas untuk anda hari ini untuk kenalpasti cara penipuan skim cepat kaya di Malaysia.

Teruskan bersama kami!

Kenalpasti Cara Penipuan Skim Cepat Kaya di Malaysia 2 - Kenalpasti Cara Penipuan Skim Cepat Kaya di Malaysia

BIAR PUTIH TULANG, JANGAN PUTIH MATA

“Sebenarnya ramai yang tidak tahu, hanya organisasi yang mempunyai lesen dari Bank Negara sahaja yang layak menjalankan bisnes pelaburan. Orang ramai perlu periksa dahulu sama ada organisasi itu berdaftar dengan Bank Negara atau tidak sebelum melakukan pelaburan,”

Perunding Kewangan, Shamsuddin Kadir

BERNAMA | MAC 15, 2019

Sebelum tenggelam dalam janji palsu skim cepat kaya, buka mata dan minda anda dan lakukan kajian sebelum tergopoh-gapah menyertai pelaburan yang nampak meragukan. Semak status organisasi yang nampak meragukan di Bank Negara.

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Kesudahannya mereka terjerumus dalam skim cepat kaya ini dan kehilangan segala yang diimpikan.

Jangan sampai menyesal tak sudah.

 

Kenalpasti Cara Penipuan Skim Cepat Kaya di Malaysia - Kenalpasti Cara Penipuan Skim Cepat Kaya di Malaysia

KENALPASTI CARA PENIPUAN SKIM CEPAT KAYA DI MALAYSIA

Berikut merupakan 5 taktik popular yang digunakan di dalam skim cepat kaya;

JAMINAN PULANGAN TINGGI TANPA SEBARANG RISIKO

Siapa yang tidak menginginkan pulangan untung dalam apa saja pelaburan yang dilakukan? Apatah lagi apabila dijanjikan dengan pulangan yang tinggi tanpa sebarang risiko pula.

Selalunya pulangan untung untuk skim cepat kaya akan melebihi 50% hingga 100%, luarbiasa dan melebihi Amanah Saham Bank Rakyat dan Pasaran Saham Indeks Bursa Malaysia.

Logikkah pada anda, bahawa pelaburan yang selamat pun tidak menjanjikan pulangan yang terlalu tinggi?

Inikan pula skim pelaburan penipu yang memerlukan anda hanya goyang kaki?

‘Tanpa sebarang risiko’ menguatkan lagi daya penarik skim cepat kaya ini dan kononnya membuatkan pelabur-pelabur rasa selamat dan mudah mendapatkan wang ringgit seperti yang dijanjikan.

Mana ada kerja yang goyang kaki sahaja? Kalau anda membuat perniagaan sendiri pun anda perlu pantau daripada A-Z baru dapat pastikan segalanya berjalan lancar. Buka mata anda dan elakkan termakan janji-jani palsu.

FOKUS KEPADA MENCARI ORANG BAWAH

Sekiranya sesebuah syarikat itu adalah syarikat yang bagus pastinya syarikat tersebut menawarkan produk atau servis yang berkualiti tinggi.

Tetapi di dalam skim cepat kaya, pencarian orang bawah atau lebih dikenali ‘anak buah’ adalah lebih penting daripada mempromosikan produk syarikat.

‘Tak payah susah-susah jual barang, cari saja anak buah bawah kau dah boleh dapat duit.’

Hal ini kerana tanpa ‘anak buah’ dibawah mereka, mereka tidak dapat ‘rolling’ duit untuk dibayar kepada pelabur-pelabur dan kesudahannya sistem itu sendiri akan musnah dan scammer akan lari dengan duit anda tanpa anda ketahui.

Baca Juga :  Cara Claim Internet Percuma 1GB Setiap Hari Sehingga Hujung Tahun

Tahu-tahu saja, duit lesap dan anda pun berputih mata.

Hati-hati dengan kata-kata manis penganjur skim cepat kaya yang membuatkan semuanya nampak mudah. Apa pun yang kita ingin dalam hidup memerlukan perngorbanan dan usaha yang berterusan.

LATAR BELAKANG SYARIKAT MERAGUKAN

Pastikan anda merujuk kepada badan-badan kerajaan yang terlibat seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia akan kewujudan syarikat yang ingin anda melabur.

Kebanyakkan daripada mereka ini memang mempunyai laman web sendiri tetapi perlu anda ketahui, kos untuk membina laman web tidak lah terlalu mahal dan dengan adanya kemahiran ‘graphic design’ dan sebagainya dapat mengaburi mata anda.

Kenalpasti alamat syarikat tersebut, dimana mereka beroperasi dan sebagainya.

‘Oh syarikat kami terkenal hanya di luar negara, itu sebab kami tidak beroperasi di Malaysia.’

Jangan termakan kata-kata penganjur skim cepat kaya ini kerana mereka sanggup melakukan apa sahaja supaya anda terjerumus dalam perangkap mereka.

Mereka juga sering menggunakan nama selebriti atau ahli politik ternama dalam testimoni mereka kononnya dapat menjadi bukti yang mereka ini beroperasi secara sah dan nampak menyakinkan.

‘Selebriti X dan Y dah berjaya melabur dengan kami, anda bila lagi?’

FOKUS UTAMA KEMEWAHAN DAN KEKAYAAN.

Siapa yang tidak ingin hidup senang dalam jangka masa yang cepat dan tidak menyusahkan? Lebih-lebih lagi mereka yang terdesak dan memerlukan wang dalam masa yang terdekat.

Scammer seperti ini bijak dalam menarik anda untuk menyertai skim pelaburan palsu mereka, meraka akan berpakaian mewah, memandu kereta mewah dan melakukan perjumpaan ditempat-tempat mewah.

Manusia biasa seperti kita mudah termakan dengan tipu daya seperti ini.

Pelaburan perlu dibuat berdasarkan ilmu. Jangan membiarkan perasaan tamak mengaburi kewarasan fikiran anda dalam melakukan sesuatu keputusan.

Kita hidup dizaman semuanya nak kena nampak mewah baru orang lain hormat dan pandang tinggi, kawal diri anda dan elakkan bermimpi untuk mendapatkan sesuatu yang berada di luar kemampuan anda.

Biar bersederhana, asalkan bahagia.

AGAMA MENJADI TARUHAN

Sedih apabila penipu skim cepat kaya ini menjadikan agama Islam sebagai taruhan dalam mendapatkan keuntungan.

Mereka menjual agama demi kepentingan diri mereka sendiri. Kebanyakkan daripada mereka yang dikenali sebagai ‘penunggang agama’ menggunakan cara ini untuk menarik pelabur menjadi kononnya ‘Jutawan Muslim’.

Ada juga yang menggunakan taktik islamik contohnya perlu baca Al-Quran berserta tajwid yang betul, solat perlu 5 waktu dan hadir ke ceramah-ceramah untuk sentiasa redha dengan ujian Allah sebagai syarat untuk menyertai pelaburan.

Sudah pasti tiada yang salah dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan, namun apa kaitan taranum dan tajwid dengan pelaburan?

Bukankah pengiraan digit dan analisis terhadap potensi dan risiko lebih memainkan peranan penting?

Tepuk dada, tanya selera.

kenali taktik penipuan skim cepat kaya di malaysia 2 - Kenalpasti Cara Penipuan Skim Cepat Kaya di Malaysia

KESIMPULAN 

Sentiasa berhati-hati dan semak dulu sebelum anda libatkan diri dalam apa-apa jenis aktiviti kewangan yang mencurigakan. Baca panduan yang diberikan Bank Negara di Peringatan Buat Semua Pengguna. 

Sentiasa peka tentang isu-isu semasa yang melibatkan kes skim cepat kaya kerana percaya atau tidak masih ada lagi mereka yang terpedaya dengan penipuan ini.

Kami di Pemberitahuan mengharapkan anda menjadi pengguna yang bijak dan sentiasa berhati-hati dengan perangkap skim cepat kaya ini.

Terima kasih!