Pemberitahuan » Terkini » Koronavirus: ‘Jangan perjudikan nyawa rakyat!’ – Tengku Putra

Koronavirus: ‘Jangan perjudikan nyawa rakyat!’ – Tengku Putra

Kerajaan diminta tidak memperjudikan nyawa rakyat Malaysia dengan masih membenarkan pelancong dari negara China untuk masuk ke dalam negara.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat berkata rakyat negara ini masih boleh hidup dalam keadaan makmur tanpa kemasukan pelancong dari China.

“Tidak perlu kita mengambil risiko maut semata-mata untuk menjadi hos negara yang penuh dengan santun.

“Maka langkah yang wajib dibuat ketika ini adalah untuk membekukan visa selain saringan yang ketat di kesemua pintu masuk negara.

“Jangan pula disebabkan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020, kerajaan masih tidak mengeluarkan arahan sedemikian untuk warga China sedangkan negara serantau seperti Singapura, Thailand, Filipina telah mengambil tindakan menghalang kemasukan warga China ke negara mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu kerajaan tidak bercadang menghentikan pengecualian visa selama 15 hari, yang diperuntukkan untuk pelancong dari China, meskipun Malaysia berdepan ancaman koronavirus.

Perdana Menteri sebaliknya berkata kerajaan menerusi agensi berkaitan akan mempergiatkan langkah pencegahan, termasuk saringan di semua pintu masuk negara bagi mengekang penyebaran virus yang berasal dari Wuhan itu.

Dalam pada itu kata Tengku Putra, kenyataan Dr Mahathir itu benar-benar mendukacitakan pada saat kerajaan sepatutnya dengan segera melakukan tindakan bagi memastikan penularan wabak itu tidak berlaku di negara ini.

“Kerajaan China sendiri telah mengeluarkan arahan untuk menghalang warga mereka untuk keluar negara bagi mengawal penularan wabak.

“Langkah ini sedikit sebanyak dapat meredakan kebimbangan rakyat Malaysia yang mana kecewa dengan kenyataan kerajaan untuk mengekalkan visa untuk rakyat China.

“Namun, tidak munasabah untuk kita mengkuarantinkan semua pendatang dari tanah besar China di sini,” ujarnya.

Baca Juga :  Permohonan Jawatan Kosong Pembantu Tadbir (W19) 2022

Tambahnya, kebimbangan rakyat negara ini harus diutamakan selari virus itu yang masih belum mempunyai vaksin sebagai pencegahan dan perubatan jika dijangkiti selain membawa maut bagi mereka yang didapati positif koronavirus.

 

sumber