Pemberitahuan » Kewangan » Tidak Menabung Dan Kesannya Dalam Hidup

Tidak Menabung Dan Kesannya Dalam Hidup

Anda tidak mempunyai tabungan sendiri? Anda sedar atau tidak ia akan memberikan kesan yang besar dalam hidup anda?

Kesedaran memahami akan pentinganya menabung masih lagi rendah dan tabiat menabung pada masa kini dianggap kebudak-budakan dan tidak penting.

Walhal tidak kira lah apa peringkat umur sekali pun, menabung sepatutnya dijadikan tabiat yang konsisten dan mampu membentuk masyarakat yang jauh daripada masalah muflis dan sebagainya.

Dikala kita hidup dalam zaman ekonomi yang mencabar ini, duit tabungan amat lah penting dan menjadi sumber keberlansungan hidup yang lebih stabil.

Menurut kajian yang diperoleh daripada Bank Negara Malaysia (BNM), didapati bahawa 75 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan sebanyak RM1,000.

Sinar Harian | 9 Julai 2019

Perit nak diterima namun itulah statistik terkini yang menyedihkan. Jika tiada persediaan bertambah teruk keadaan anda sekiranya ditimpa apa-apa kecemasan.

Mari bersama kami di Pemberitahuan, kita sama-sama kenali apa kesannya sekira anda tiada wang tabungan.

Mungkin lepas ini anda sedar betapa seriusnya keadaan kewangan anda.

Tidak Menabung Dan Kesannya Dalam Hidup 1 - Tidak Menabung Dan Kesannya Dalam Hidup

MENABUNG DAN KESINAMBUNGAN HIDUP?

Dek kerana terlalu ikutkan nafsu kebanyakan generasi muda kita tidak mempunyai wang tabungan mereka sendiri.

Heboh dengan gaya hidup yang mewah, hutang-piutang keliling pinggang.

Dengan adanya simpanan wang yang kukuh, anda tidak perlu lagi pening memikirkan masalah yang bakal anda hadapi di masa hadapan, pupuk semula amalan menabung, tiada istilah terlambat untuk anda.

Yang terlambatnya apabila hutang menggunung, duit dalam poket kosong.

Menabung memastikan anda berada dalam kedudukan ekonomi yang stabil dan selamat. Ia menunjukkan juga bahawa anda pandai menguruskan kewangan anda dan tidak  boros berbelanja.

TIDAK MENABUNG DAN KESANNYA DALAM HIDUP

5 kesan-kesan negatif yang perlu anda hadapi sekiranya anda tidak menabung:

 TIADA DANA KECEMASAN

Dana kecemasan merupakan penyelamat untuk anda bagi menghadapi situasi yang berada di luar jangkaan anda. Kemalangan, kematian, kerosakan harta dan sebagainya akan membebankan anda sekiranya anda tidak mempunyai dana kecemasan untuk membantu.

Beringat-ingatlah sebelum kena, jangan sudah terhantuk baru terngadah.

Asingkan sedikit daripada pendapatan bulanan anda ke tabung dana kecemasan. Apatah lagi sekiranya anda sudah berkeluarga, dana kecemasan penting untuk memastikan keselamatan anak-anak dan perancangan ekonomi keluarga stabil.

Istilah menyesal tak sudah tak berguna lagi sekiranya anda lalai dan boros berbelanja sehingga terlupa untuk bersiap sedia menyediakan yang terbaik untuk keluarga.

Tabung dana kecemasan ini kedengaran remeh namun sumbangannya terhadap anda mampu mengubah perspektif anda terhadap kebaikan menabung.

KUALITI HIDUP TIDAK BERUBAH

Anda merasakan kehidupan anda sekarang ini selesa dengan apa yang telah anda miliki walaupun hakikatnya nilai kesemua aset anda itu akan berubah di masa hadapan.

Baca Juga :  Permohonan Bantuan Persekolahan Baitulmal MAIWP 2020

Cuba melihat perkara ini dari sudut jangka masa panjang, kerana demand untuk kualiti di masa hadapan jauh lebih mencabar dan berkos tinggi.

Jika anda mahukan kehidupan yang selesa di masa hadapan, mulakan aktiviti menabung daripada zaman anda mula bekerja. Jika tidak mampu menyimpan dengan banyak, simpan sikit dahulu dan rancang perbelanjaan anda dengan bijak.

Tanpa simpanan yang kukuh, sukar untuk anda meningkatkan kualiti hidup kerana semakin terbeban dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Berkorban selagi anda mempunyai tenaga muda demi mencapai kesenangan hidup dan ketenangan fikiran dalam menghadapi perubahan ekonomi mendatang.

HUTANG SEMAKIN MENINGKAT

Hal ini terjadi kerana hutang baru dibuat semata-mata untuk menampung hutang lama yang anda tidak mampu bayar.

Tiada kesudahan dalam cara anda menyelesaikan masalah hutang anda sekiranya anda terus berhutang.

Dengan adanya simpanan yang kukuh,

contohnya,

anda menyimpan di Tabung Haji ataupun ASB, anda tidak perlu pening membuat keputusan terburu-buru untuk menyelesaikan masalah hutang anda, sememangnya tujuan menabung itu untuk membantu anda menyelesaikan masalah kewangan yang anda hadapi.

Ada juga keluarga yang terpaksa melakukan pinjaman peribadi dan hutang kad kredit semata-mata untuk menampung kos perbelanjaan harian dan yuran anak-anak untuk ke sekolah.

Walhal, perkara seperti ini tidak mungkin berlaku sekiranya anda mempunyai simpanan yang kukuh.

Hutang bertambah, masalah pun bercambah.

SUSAH UNTUK MEMILIKI ASET

‘Macam mana ni, nak beli rumah tapi tak cukup duit deposit.’

Perlu kah anda berhutang untung memiliki aset?

Ya, itu merupakan salah satu cara yang disediakan tetapi adalah lebih baik sekiranya anda mempunyai simpanan khas untuk perancangan memiliki aset anda sendiri.

Semakin tinggi harga sesebuah rumah itu, semakin tinggi nilai deposit yang perlu anda sediakan. Lupakan lah rumah idaman anda sekiranya anda tidak mempunyai wang simpanan khas untuk memiliki aset.

Rancang sebaik-baiknya cara anda menabung agar impian anda untuk memiliki aset tidak tergendala.

PENGURUSAN KEWANGAN MUDAH TERGANGGU

Apabila umur semakin menginjak ke era 30-an ke atas dan anda telah pun berkeluarga, sudah pasti tanggungan anda tertumpu kepada kebajikan keluarga dan hutang-hutang seperti hutang kereta dan rumah.

Pengurusan kewangan anda mudah terganggu kerana anda mempunyai komitmen lain yang memerlukan pembayaran bulanan dalam jumlah tertentu. Anda tidak dapat mencari sumber lain untuk menabung wang simpanan.

Cuba cari pendapatan sampingan yang lain untuk mengelakkan anda mengusik jumlah yang telah anda asingkan daripada pendapatan bulanan anda.

Pendapatan persampingan itu dapat menjadi wang simpanan anda.

Tidak Menabung Dan Kesannya Dalam Hidup 2 - Tidak Menabung Dan Kesannya Dalam Hidup

 

KESIMPULAN

Dimana silapnya kita dalam memahami akan pentingnya amalan menabung ini?

Rakyat Malaysia ternyata kurang kemahiran menguruskan perbelanjaan atau kedudukan kewangan mereka dan ia berpunca kerana kurangnya ilmu kewangan dan juga sikap sambil lewa.

Mungkin kita lebih melihat kepada nikmat kepuasan jangka masa pendek berbanding kesejahteraan hidup di masa hadapan.

Kami di Pemberitahuan menyeru ayuh mantapkan lagi ilmu kewangan agar masa depan diri, keluarga dan generasi keluarga akan datang lebih terjamin.

Kalau anda masih ragu-ragu..

Tepuk dada, tanya diri sendiri, simpanan anda tu cukup ke?