i-Sinar KWSP: Kadar Pengeluaran
Belanjawan 2021 pada 6 November lalu memasukkan perancangan pengeluaran daripada akaun 1 KWSP bagi membantu meringankan beban rakyat yang benar-benar memerlukan.
i-Sinar KWSP diperkenalkan sebagai satu platform khas untuk mereka yang ingin membuat permohonan pengeluaran dari Akaun 1 KWSP.
Bagaimana?
Teruskan baca artikel kami hari ini i-Sinar KWSP: Kadar Pengeluaran & Syarat Permohonan Akaun 1 KWSP untuk mengupas maklumat terkini mengenai isu ini.
Jom baca!
Isi Kandungan
i-Sinar KWSP: Kadar Pengeluaran & Syarat Permohonan Akaun 1 KWSP
Di dalam Belanjawan 2021 yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 November yang lalu, beliau menyatakan pengeluaran Akaun 1 KWSP secara bersasar akan dibenarkan berjumlah RM500 sebulan yang memberikan manfaat kira-kira 600,000 orang ahli sahaja.
Pengeluaran Akaun 2 KWSP sebelum ini juga dapat dilihat sebagai inisiatif kerajaan membantu rakyat.
Pengumuman terbaharu daripada KWSP mengenai i-Sinar menunjukkan lebih ramai pencarum layak untuk memohon kemudahan i-Sinar dan permohonan tersebut akan dibuka mulai Disember 2020.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sedang memuktamadkan perincian kemudahan akses ke Akaun 1 ahlinya, yang dikenali sebagai i-Sinar dan akan diumumkan pada 18 November ini.
Menurut Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam satu kenyataan, hari ini, i-Sinar diwujudkan hasil konsultasi mendalam bersama pihak berkepentingan agar ahli terkesan dapat mengharungi cabaran semasa, selain memastikan kesejahteraan masa depan persaraan mereka.
Setelah meneliti dan menilai keadaan semasa, KWSP telah mengambil langkah untuk memperluaskan skop i-Sinar yang merangkumi ahli yang kehilangan pekerjaan, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.
i-Sinar akan memberi manfaat kepada 2 juta ahli yang layak dan dianggarkan sejumlah RM14 bilion akan tersedia untuk ahli yang layak.
Ahli yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember 2020.
Amaun akan dikreditkan dalam akaun bank ahli pada hujung bulan selepas permohonan dibuat. Pengkreditan pertama akan bermula pada Januari 2021. Amaun pendahuluan ini akan dikreditkan secara berkala sehingga enam (6) bulan bermula pada tarikh pertama pengkreditan.
KATEGORI INDIVIDU YANG LAYAK MEMOHON
Sekiranya anda tergolong di dalam kategori di bawah, permohonan anda akan menjadi keutamaan:
- Individu yang kehilangan pekerjaan.
- Individu yang diberi cuti tanpa gaji.
- Individu yang tiada pekerjaan.
i-SINAR KWSP: KADAR PENGELUARAN DARIPADA AKAUN 1
Umumnya, akses yang dibenarkan bagi kemudahan i-Sinar ini ialah 10% daripada Akaun 1 mereka dan tertakluk kepada baki minimum RM100.
Kemudahan i-Sinar ini terbahagi kepada dua kategori iaitu:
- Ahli yang mempunyai baki Akaun 1 RM90,000 dan ke bawah dibenarkan untuk mengeluarkan wang sehingga RM9,000.
- Ahli yang mempunyai baki Akaun 1 RM90,000 ke atas dibenarkan untuk mengeluarkan 10% simpanan mereka dan maksimum pengeluaran adalah sebanyak RM60,000.
Bagi kategori pertama, pihak KWSP akan mengkreditkan wang tersebut selama 6 bulan dengan pendahuluan bagi bulan pertama adalah sehingga RM4,000.
Untuk kategori kedua, pendahuluan maksimum yang akan dikreditkan bagi bulan pertama adalah sehingga RM10,000 dan bakinya akan diberikan pada bulan-bulan seterusnya sehingga 6 bulan.
Ahli yang memilih untuk memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan.
Caruman baharu akan dikreditkan 100% ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula.
Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70% bagi Akaun 1 dan 30% bagi Akaun 2.
Maklumat Lanjut i-Sinar KWSP
Untuk menentukan amaun yang diperlukan untuk permohonan di bawah i-Sinar dan memastikan kelangsungan hidup semasa krisis, ahli digalakkan untuk mendapatkan nasihat kewangan melalui Pegawai Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) KWSP dan/atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
*SEBARANG MAKLUMAT TERKINI AKAN DIKEMASKINI DARI SEMASA KE SEMASA*